MATAHARI AKAN PADAM SELEPAS TEMPOH TERTENTU
Cahaya matahari dihasilkan oleh proses kimia di
permukaannya yang telah berlaku sejak lima billion tahun dahulu. Ia akan padam
pada suatu masa nanti apabila matahari kehilangan bahan api yang akan membawa
kepupusan kehidupan di bumi ini.
Ayat al-Quran menyebut mengenai perkara ini: ´Dan
(sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke
tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi
Maha Mengetahui.” (Surah Yaa Siin: 38)
(Mesej yang sama difirmankan oleh Allah s.w.t sebagaimana
terkandung di dalam al-Quran menerusi ayat-ayat 13: 2, 35: 13, 39: 5 and 39:
21)
Perkataan Arab yang digunakan di sini ialah
´mustaqarr´, yang bermakna tempat atau masa yang telah ditentukan. Justeru,
al-Quran menyatakan matahari bergerak menuju ke satu tempat yang ditetapkan dan
perkara itu akan berterusan sehingga ke satu tempoh yang telah ditetapkan -
bermakna ia akan padam atau tamat.
KEWUJUDAN BAHAN DI RUANG ANGKASA
Ruang di luar sistem astronomi yang tersusun
dikatakan tidak mempunyai apa-apa bahan dan vakum sahaja. Ahli astro-fizik
kemudiannya menemui kewujudan bahan-bahan yang dipanggil plasma dan ianya
terdiri daripada gas yang diionkan sepenuhnya dan mengandungi jumlah elektron
bebas dan ion positif yang sama. Ia juga kadang-kadang dipanggil keadaan bahan
yang keempat (selain daripada tiga keadaan yang diketahui- pepejal, cecair, dan
gas).
Al-Quran menyebut kewujudan bahan ini dalam ayat:
“Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara
keduanya.” (Surah Al-Furqaan: 59)
Amat tidak logik sekali untuk sesiapa pun
membayangkan kewujudan bahan di antara galaksi telah diketahui 1400 tahun
dahulu.
ALAM SEMESTA YANG SENTIASA MENGEMBANG
Pada tahun 1925, ahli astronomi Amerika yang
bernama Edwin Hubble, membentangkan bukti hasil kajiannya bahawa semua galaksi
semakin menjauhi antara satu sama lain, yang membayangkan alam semesta ini
sedang mengembang. Pengembangan alam semesta kini diiktiraf sebagai fakta
sains.
Inilah yang al-Quran katakan mengenai sifat alam
semesta ini: “Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk
binaan yang kukuh rapi) Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang
luas tidak terhingga.” (Surah Dzaariyaat: 47)
Perkataan Arab ´musi´u´n diterjemahkan dengan
betul kepada ´mengembangkannya´, dan ia merujuk kepada penciptaan alam semesta
yang amat besar dan sedang mengembang.
Stephen Hawking, dalam bukunya, A Brief History of
Time, berkata, ´Penemuan bahawa alam semesta ini sedang mengembang merupakan
salah satu dari revolusi intelek yang amat hebat di kurun ke 21.´
Al-Quran menyebut mengenai pengembangan alam
semesta, sebelum manusia belajar membuat teleskop. Ada yang berkata fakta-fakta
astronomi di dalam al-Quran tidaklah mengejutkan kerana orang Arab memang mahir
di bidang astronomi. Mereka memang betul bila berkata orang Arab mahir di
bidang astronomi.
Bagaimanapun mereka gagal menyedari bahawa
al-Quran diturunkan sebelum orang Arab menjuarai bidang astronomi. Selain
daripada itu, kebanyakan fakta-fakta saintifik yang disebut di atas mengenai
astronomi, seperti asal usul alam semesta dari Big Bang, tidak diketahui oleh
orang Arab walaupun sehingga zaman kegemilangan sains mereka.
Oleh hal yang demikian itu, fakta saintifik di
dalam Al-Quran bukan disebabkan oleh keunggulan orang Arab di bidang astronomi.
Malahan, yang sebaliknya betul. Orang Arab menjuarai astronomi kerana astronomi
disebut di dalam al-Quran.
GAS HIDROGEN DAN HELIUM DAN PERMULAAN LANGIT DAN
BUMI
Salah satu kajian dalam bidang ilmu astrofizik
ialah tentang keadaan alam selepas berlakunya Big Bang. Kajian menunjukkan
bahawa pengembangan berlaku di dalam keadaan suhu yang tinggi diikuti dengan
penyejukan. Di peringkat awal itu, proton telah bercantum dengan neutron dan
melahirkan gas deuterium (hidrogen berat atau heavy hydrogen) di samping
gas-gas ringan yang lain, terutamanya helium, dan sedikit daripada lithium,
berylium dan boron. Ini disebutkan juga sebagai ´primary nebula´.
Akhirnya, dalam jangka masa yang singkat, angkasa
raya ketika itu didominasi oleh gas hidrogen dan helium. Selepas lebih kurang
sejuta tahun, gas di angkasa membeku dan kemudiannya bercantum mengikut
proses-proses tertentu untuk menjadi galaksi, bintang-bintang dan bumi. Penemuan
ini adalah selari dengan pernyataan al-Quran.
PERMULAAN ALAM MENURUT AL-QURAN DAN SAINS
Dalam surah Al-Anbiya ayat 21: 30, Allah s.w.t
berfirman yang bermaksud: “Apakah orang-orang kafir tidak melihat bahawa
sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya adalah bercantum sebagai satu,
kemudian Kami pisahkan keduanya…”
Di dalam Al Jamik li Ahkamil Quran Jilid 5 halaman
4323, Imam Qartubi telah meriwayatkan perkataan-perkataan Ibn Abbas, Al-Hasan,
´Atha, Ad-Dahhak dan Qatadah: “Ia bermaksud bahawa kedua langit dan bumi pada
asalnya adalah satu yang melekat lagi bercantum, kemudian Allah s.w.t pisahkan
di antara kedua-duanya dan dijadikan di antara kedua-duanya udara.”
Di dalam Al-Asas fit Tafsir Jilid 7 halaman 3454,
Said Hawa telah mendatangkan riwayat dari Ibn Kathir tentang pandangan Said bin
Jubair berhubung dengan ayat ini: “Bahkan… sebelum ini langit dan bumi melekat
dan bercantum di antara satu dengan yang lainnya. Ketika Allah s.w.t
meninggikan langit maka menonjollah bumi. Demikianlah maksud Allah s.w.t
memisahkan di antara kedua-duanya.”
Syeikh Tantawi Jauhari dalam kitabnya yang
terkenal Al-Jawahi´ yang ditulisnya sekitar tahun 1920-1930, telah menyebutkan:
“Apa yang telah dijelaskan oleh al-Quran dahulu ialah bahawa langit alam yang
ada di dalamnya, adalah semua bercantum lalu Allah s.w.t pisahkan semuanya. Di
sini kita tegaskan bahawa ini adalah mukjizat, kerana ilmu ini belum diketahui
kecuali pada zaman sekarang.”
Berpandukan ayat ini, tafsiran yang muktabar
menerima hakikat bahawa alam ini pada suatu ketika dahulu adalah bercantum
sebelum dipisahkan mengikut yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.
TEORI ´BIG BANG´
Satu teori yang telah diterima umum tentang asal
kejadian alam ialah teori Big Bang. Ia mengatakan bahawa alam ini pada asalnya
adalah bercantum, kemudiannya berlakulah satu letupan yang kuat (cosmic
explosion) 10 ke 20 billion tahun dahulu, yang dinamakan sebagai Big Bang.
Bermula dari situ berlakulah pengembangan dan penyejukan (expanding and
cooling) yang melahirkan bintang-bintang, galaksi dan yang seumpamanya.
Teori ini pada asalnya diasaskan dari formula
General Theory of Relativity yang diutarakan oleh Albert Einstein pada tahun
1915. Kemudian pada tahun 1922 seorang pakar fizik Rusia, Alexander Friedmann,
telah mengembangkan lagi formula ini dan mengukuhkan lagi teori Big Bang ini.
Pada tahun 1929, tokoh astronomi dari Amerika,
Edwin Hubble, telah menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori Big Bang.
Dengan menggunakan alat yang canggih, beliau telah mendapati bahawa alam ini
sedang berkembang sekali gus mengukuhkan pendapat bahawa alam ini bercantum
padu pada asalnya dan letupan besar telah berlaku yang menyebabkan pengembangan
itu.
Penyelidikan berhubung dengan tahap radiasi dan
tentang gas helium yang tersebar secara seimbang di angkasa, adalah selari
dengan teori Big Bang. Kajian tentang tahap radiasi di angkasa raya telah
dilakukan oleh pakar astrofizik dari Amerika, Arno Penzias and Robert Wilson,
pada tahun 1965.
Kajian tambahan yang dilakukan di antara tahun
1989 hingga 1993, dengan menggunakan alat pengesan khas NASA yang dikenali
sebagai ´COBE Spacecraft,´ juga telah mengesahkan tentang perkara ini.
Pada hari ini dengan alat dan prasarana yang lebih
canggih, seperti makmal CERN yang terletak berhampiran dengan Geneva, banyak
kajian baru yang dapat dilakukan. Kajian-kajian terkini dari makmal ini telah
mengukuhkan lagi teori Big Bang.
Pada tahun 1928, Thomas Gold dan Hermann Bondi
telah mengutarakan satu teori yang berlawanan dengan Big Bang, iaitu, Teori
´Steady State´ yang mengatakan bahawa alam ini tidak ada permulaan, malah
berkeadaan sama sejak dahulu hinggalah sekarang. Pada tahun 1964, dengan
penemuan gelombang-gelombang tertentu di udara yang mengesahkan tentang
kewujudan Big Bang, teori ini terus ditolak.
Semua ini mengesahkan bahawa langit dan bumi pada
suatu ketika dahulu adalah bercantum padu, kemudiannya dipisahkan. Kesemuanya
telah disebutkan oleh al-Quran.
Ditulis
oleh Suriyati bt Shamsuddin.
Sumber :
http://sabksmasra.bpi.edu.my/
0 Komentar untuk "INFO PALING BERGUNA - Fakta Sains di dalam AL-QURAN"