BUKIT MERTAJAM: Lelaki yang dipercayai mengetuai
kumpulan pembunuh warga Myanmar di Pulau Pinang didakwa berkarektor seperti
watak filem Tamil, Sivaji The Boss kerana sering berkaca mata hitam serta
mempunyai gaya tersendiri.
Seorang warga Indonesia yang mahu dikenali sebagai
Anwar berkata, dia sering melihat suspek yang juga warga Myanmar dan tinggal
bersebelahan rumahnya di Kampuang Pisang, Machang Bubuk, berkaca mata hitam
dengan gaya tersendiri.
"Rambutnya panjang dan kadang-kadang
berpakaian seperti pelakon Tamil, Rajinikanth ketika dalam filem Sivaji The
Boss," katanya ketika melihat suspek keluar dan masuk rumah yang menjadi
lokasi pembunuhan.
Bagaimanapun Anwar yang tinggal di situ sejak
lapan tahun lalu tidak mengetahui pekerjaan suspek dan rakan-rakan.
"Dia lebih menyendiri. Dia hanya keluar dan
masuk rumah sahaja, kadang-kadang ada wanita dipercayai isterinya turut
bersama.
"Dia berpakaian kemas dan hanya akan
melemparkan senyuman kepada penduduk di sini jika melintasi mereka. Dia tidak
pernah bercakap dengan jiran-jiran," jelasnya.
Seorang lagi jiran suspek, Noorshah Siti Hazariah
Awang berkata, dia terkejut apabila terdengar polis mengetuk pintu rumah
berkenaan pada pagi Jumaat.
"Kami tidak tahu apa yang sebenarnya telah
berlaku kerana polis hanya memberitahu 'kes berat'. Saya melihat polis
membawanya (suspek) ke dalam kereta.
"Saya tidak pernah tahu jika ada pembunuhan
berlaku di rumah yang terletak bersebelahan. Saya tidak pernah dengar bunyi
bising dan sesuautu yang mencurigakan," cerita wanita terbabit.
Bagaimanapun katanya, terdapat ramai orang yang
terdiri daripada warga Myanmar sering ke rumah tersebut.
Polis sebelum ini berjaya menahan 17 suspek bagi
membantu siasatan pembunuhan 18 warga Myanmar di sekitar negeri tersebut.
Polis juga percaya pembunuhan mangsa telah
dilakukan di kediaman tersebut setelah menemui beberapa parang panjang.
Sumber -
mStar Online
0 Komentar untuk "Lagak Suspek Bunuh 18 Warga Myanmar Seperti 'Sivaji The Boss'"