CAMERON HIGHLANDS 4 Dis. - Pihak berkuasa mula
‘mengambil alih’ tanah pertanian yang diteroka tanpa kebenaran di daerah ini
apabila merobohkan struktur binaan di kebun-kebun yang diusahakan secara haram
tersebut.
Operasi sulung itu melibatkan 500 anggota daripada
16 agensi, antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Polis
Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan
Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pegawai dari Pejabat Peguam Negara.
Dalam operasi di Blue Valley dekat sini, pihak
berkuasa merobohkan struktur binaan seperti tiang besi dan penutup plastik di
sebuah kebun yang diteroka secara haram.
Kerja-kerja meroboh dijalankan dengan menggunakan
tenaga manusia dan peralatan seperti pemotong besi serta jentolak.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk
Mohamed Tajudeen Wahab yang mengetuai operasi tersebut berkata, pihaknya akan
mengambil alih tanah-tanah yang diusahakan secara haram berkenaan.
Menurut beliau, ada pemilik kebun di situ dikesan
telah meneroka tanah lebih dari 11 hektar daripada had dibenarkan atau tiga
hingga empat kali ganda daripada sepatutnya.
“Kebun ini sudah beroperasi lebih empat tahun dan
telah melabur lebih RM10 juta.
“Kita telah merobohkan struktur binaan di atas
tanah haram dan kita akan mengambil alih tanah ini.
“Tindakan merobohkan struktur binaan di sini
adalah mengikut undang-undang di bawah Seksyen 425/426 Kanun Tanah Negara,”
katanya ketika ditemui hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Tajudeen mengakui, pihak
berkuasa berdepan masalah untuk merobohkan struktur binaan terutama daripada
besi.
Katanya, ini kerana struktur yang dibina sukar
untuk dirobohkan jika menggunakan peralatan biasa seperti pemotong besi
sebaliknya perlu menggunakan jentera berat.
“Ini mungkin menyebabkan operasi mengambil alih
semua tanah haram di daerah ini memerlukan masa lebih lama daripada tempoh tiga
bulan yang ditetapkan.
“Selain itu kejayaan operasi juga bergantung
kepada keadaan cuaca,” jelasnya.
Operasi tersebut turut menahan 20 pekerja warga
asing untuk pemeriksaan dokumen.
Mengenai usaha menggempur pendatang asing tanpa
izin (PATI) yang membanjiri kawasan tanah tinggi itu, Mohamed Tajudeen berkata,
operasi akan dijalankan secara berterusan.
“Kita akan terus memburu mereka sehingga Cameron
Highlands bebas daripada PATI,” tegasnya.
Sumber -
Utusan Online
0 Komentar untuk "Peneroka haram digempur - Libatkan 500 anggota 16 agensi termasuk angkatan tentera."