KUALA LUMPUR 5 Dis. - Pendakwah dari negara luar
perlu melalui proses tapisan keselamatan pihak polis, sebelum dibenar memberi
syarahan di negara ini bagi memastikan fahaman ekstrem termasuk berunsur
militan tidak disebarkan di Malaysia.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter
Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata,
sehubungan itu satu mekanisme perlu diwujudkan bagi menapis pendakwah dari
negara luar.
Katanya, berdasarkan pengalaman lalu, ideologi
berunsur militan dan ekstremisme dibawa oleh orang asing ke negara ini,
antaranya Jemaah Islamiah dan Jemaah Anshorut Tauhid (JAT).
"Kalau boleh setiap pendakwah atau penceramah
asing yang datang untuk bagi syarahan agama perlu melalui tapisan keselamatan
polis terlebih dahulu...iaitu Jabatan Agama rujuk kepada kita dahulu dan kita
buat tapisan sebelum mereka (Jabatan Agama) membuat pentauliahan kepada
penceramah berkenaan.
"Aspek yang penting ialah untuk kawal atau
kekang kemasukan individu yang kononnya pendakwah, walhal membawa fahaman
ekstremisme dan bertentangan dengan landasan Islam sebenar," katanya
kepada Bernama di sini.
Ayob Khan berkata, terdapat beberapa keadaan,
jabatan agama tidak merujuk kepada pihak polis dalam isu kemasukan (pendakwah),
sebelum ditauliah untuk memberi syarahan dalam negara sedangkan ia merupakan
langkah pencegahan awal dalam mengekang ideologi militan, ektremisme dan
sebagainya.
"Sebagai contoh, sebelum ini terdapat
beberapa individu yang tidak dibenarkan memberi syarahan di negara-negara Arab
dan juga beberapa negara Barat seperti Amerika Syarikat dan sebagainya namun
mereka dibenarkan masuk dan memberi syarahan yang kononnya syarahan agama di
negara ini.
Beliau juga menegaskan, terdapat beberapa kes,
pendakwah asing ini cuba untuk menggunakan sokongan golongan ternama untuk
mendapatkan status penduduk tetap (PR) bagi membolehkan mereka menyebarkan
fahaman mereka.
Berhubung pembentangan Kertas Putih 'Ke Arah
Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)' oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak baru-baru ini, beliau berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya
sama ada kerajaan ingin menggubal undang-undang baharu mahupun memperkukuh Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
"Dalam keadaan ancaman militan ketika ini,
kita perlu memperkemas lagi Sosma bagi memudahkan pengemukaan bukti di
mahkamah," kata Ayob Khan.
Semasa membentangkan Kertas Putih itu, Najib bagi
pihak kerajaan merayu sokongan rakyat terhadap usaha membendung ideologi
kumpulan militan IS dan mencadangkan undang-undang baharu bagi membanteras
penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti sedemikian.
Najib berkata kerajaan bercadang membentangkan
undang-undang baharu itu pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata
pihaknya tidak menolak kemungkinan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam
membantu kumpulan militan di negara berkonflik termasuk di Syria.
Sumber -
BERNAMA
0 Komentar untuk "Pendakwah asing perlu tapisan polis, elak sebar fahaman ekstremis."