Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria |
KUALA LUMPUR 4 Dis. - Mahkamah Persekutuan sedang
menyiapkan penghakiman berhubung rayuan terakhir Penasihat PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas sabitan
meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lepas.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria ketika
dihubungi hari ini berkata, beliau tidak dapat memberikan tarikh tepat kerana
panel hakim masih menyiapkan penghakiman mereka.
“Saya tidak boleh memberitahu tarikh sebenar
sehingga kami (hakim-hakim) melengkapkan penghakiman. Kami masih membaca
penghujahan, biarlah kami membaca terlebih dahulu sebelum menulis penghakiman.
Berilah kami ruang untuk menyediakannya,” katanya ketika ditanya mengenai
tarikh pengumuman keputusan kes rayuan Anwar oleh Mahkamah Persekutuan.
Anwar Ibrahim |
Arifin yang mempengerusikan panel lima hakim dalam
kes rayuan itu berkata, seseorang hakim diberi tempoh yang munasabah untuk
menyelesaikan penghakiman kerana setiap kes adalah berbeza.
Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah |
Empat lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan,
Tan Sri Md Raus Sharif dan tiaga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull
Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Arifin menjelaskan, amalan standard bagi Mahkamah
Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk menyiapkan penghakiman mereka ialah dalam
tempoh tiga bulan selepas kes itu didengar.
“Tetapi dalam kes-kes tertentu, mahkamah (Mahkamah
Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) akan mengambil masa lebih lama, mungkin sehingga
enam bulan untuk menyiapkan penghakiman. Ia bergantung kepada kerumitan kes
itu,” katanya.
Pada 7 November lalu, Mahkamah Persekutuan
menangguhkan penghakiman berhubung rayuan kes itu selepas mendengar hujahan
peguam Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang
mengetuai pasukan 15 peguam termasuk tiga anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal
Singh Deo, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo serta peguam kanan Tan Sri Dr.
Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan.
Pendengaran rayuan itu yang pada awalnya
ditetapkan dua hari mulai 28 Oktober lalu telah berlarutan selama lapan hari
berikutan pihak pembelaan dan pendakwaan menyampaikan hujahan panjang lebar dan
mengemukakan banyak rujukan kes undang-undang dalam rayuan itu.
Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah
tertinggi di negara ini akan akan membuat keputusan sama ada membenarkan atau
menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang
diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas, selepas ia membatalkan keputusan
Mahkamah Tinggi untuk membebaskannya.
Sumber - BERNAMA
0 Komentar untuk "Tunggu keputusan kes liwat Anwar"